Thursday, August 27, 2020

Cara Mendapatkan Lesen Memandu Tamat Tempoh Melebihi 3 Tahun


Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa lesen memandu yang telah tamat tempoh melebihi 3 tahun tidak lagi sah diperbaharui. Sesiapa yang terlepas pandang atau lesen memandunya mati melebihi 3 tahun perlu membuat rayuan, menjalani ujian praktikal di sekolah memandu dan perlu menjalani ujian semula oleh pegawai JPJ.

Oleh itu, jika lesen memandu anda sudah hampir 3 tahun tidak diperbaharui, eloklah hidupkan kembali sekarang sebelum terlambat. Ada juga yang tidak dapat memperbaharui lesen sehingga melebihi tempoh itu kerana terdapat banyak saman tertunggak dan juga senarai hitam sehingga mereka tidak mampu untuk membayar semuanya.

Di bawah ini, saya hendak berkongsi tentang bagaimana dan apa yang perlu dibuat selepas lesen memandu anda tamat tempoh melebihi 3 tahun diharap ianya sedikit sebanyak dapat membantu memberi pengetahuan dan panduan terhadap mereka yang masih tidak pasti apa yang patut dilakukan. 

Lesen tamat tempoh selepas 3 tahun (lesen saya sudah melebihi 8 tahun).

Berikut langkah-langkah yang perlu diambil sebelum anda berhajat untuk memiliki semula lesen memandu sah diperakui oleh kerajaan Malaysia. Sila ikuti satu-persatu.

SAMAN DAN SENARAI HITAM

1. Jika anda masih ada saman yang disenarai hitam, sila bayar semua saman tertunggak yang ada, sama ada JPJ atau PDRM. Bahagian bayaran saman JPJ ialah di Blok bangunan sebelah kiri apabila anda memasuki pintu pagar utama JPJ Ipoh, Kpg Simee. 

Kalau rela menunggu, tunggulah waktu kerajaan membuat tawaran diskaun. Saya ada saman JPJ sehingga RM1,040 termasuk yang disenarai-hitamkan. Selepas JPJ memberi diskaun 70%, saya cuma perlu bayar RM312. Banyak penjimatan yang saya perolehi.

2. Selepas selesai semua bayaran saman, tunggu JPJ keluarkan resit dan pelepasan dari senarai hitam. Proses ini dilakukan dengan segera selepas saya membayar semua saman di kaunter. Mungkin pegawai akan meminta anda duduk dahulu dan akan panggil nama anda dalam masa beberapa minit.

3. Selepas dapat pelepasan, naik ke tingkat atas (JPJ Ipoh) bangunan yang sama di bahagian pelesenan dan ambil nombor giliran.

PROSES RAYUAN

4. Bila tiba giliran, beritahu pegawai di kaunter nak buat rayuan hidupkan semula lesen dah tamat tempoh melebihi 3 tahun.

Pegawai akan bantu buat permohonan rayuan. Dah selesai, bolehlah pulang dan tunggu 2 minggu. 

LULUS RAYUAN

Untuk kes saya, cuma seminggu dah dapat surat dari JPJ meluluskan rayuan saya. Surat kelulusan rayuan boleh disemak secara online di laman web rasmi JPJ atau di pautan berikut:

https://www.jpj.gov.my/web/main-site/semakan-rayuan-lesen-memandu-tamat-tempoh


Masukkan kategori, jenis lesen dan maklumat pengenalan diri. Untuk orang awam warga negara Malaysia, pilih Orang Awam Malaysia (MyKAD) dan jenis lesen yang biasa untuk kenderaan awam dan motorsikal ialah jenis Lesen Memandu Kompeten (CDL). Kemudian masukkan kod sekuriti dan tekan Semak. Jika permohonan sudah diluluskan, sistem akan memaparkan surat kelulusan rayuan. Cetak surat kelulusan tersebut.  

Sebagai pemohon lesen rayuan (yang pernah memiliki lesen penuh), saya dapat banyak pelepasan, contohnya tak perlu hadir kelas undang-undang, tak perlu melalui ujian berkomputer - cuma perlu jalani ujian praktikal sahaja.

5. Bawa surat kelulusan rayuan ke JPJ - Bahagian Pelesenan untuk dapatkan lesen L. 

Bawa sekali salinan MyKad, sekeping gambar warna latarbelakang putih ukuran 25mm x 32mm. Bayaran untuk mendapatkan lesen L (Learner's Driving License -LDL) untuk kelas B2 dan D ialah RM30.00 dan sah selama 3 bulan.

Perlu diingat, lesen L bukan lesen untuk memandu kereta di jalanraya. Ia hanya untuk kegunaan belajar memandu sahaja. Jika anda ditahan ketika memandu kereta di jalanraya, lesen L adalah tidak sah untuk kegunaan jalan raya dan anda boleh disaman kerana kesalahan tiada lesen memandu. 

Akan tetapi lesen L boleh digunakan untuk menunggang motosikal di jalan raya dengan menggantung/melekatkan huruf L di depan dan belakang. Juga tidak boleh membawa penumpang, hanya untuk menunggang berseorangan sahaja. 

KEMBALI KE SEKOLAH MEMANDU

6. Selepas memiliki lesen L (LDL) tadi, pergi ke Sekolah Memandu untuk ambil kelas praktikal. Bawa dokumen-dokumen yang diperlukan seperti surat kelulusan rayuan, salinan MyKad, sekeping gambar berukuran 25mm x 32mm dengan latar belakang putih dan salinan lesen L. 

Pilih mana-mana sekolah memandu yang anda mahu, seeloknya cari yang terdekat, dan menawarkan harga yang lebih baik. Sekolah memandu yang berpengalaman tahu anda cuma membuat rayuan dan tidak perlu membayar maksima sama seperti pelajar baru. 

Anda juga tidak perlu memasuki kelas berkomputer atau kursus selama berjam-jam. Jika sekolah memandu mengenakan bayaran sama banyak seperti pelajar baru, cari sekolah memandu lain yang jauh lebih murah.

Buat bayaran mengikut harga yang ditetapkan. Saya ambil kelas memandu praktikal (kereta) selama 2 jam sahaja (1 jam sehari selama 2 hari). 

Bayaran yang dikenakan oleh sekolah memandu yang saya pilih cuma RM40 sejam. 2 jam menjadikan jumlahnya RM80. Bayaran yuran dan lain-lain adalah sebanyak RM222.00. Jumlah keseluruhan yang saya bayar kepada sekolah memandu ialah sebanyak RM302.00.

Selepas dua minggu (minggu pertama, belajar 1 jam pada hari Jumaat, minggu kedua juga sama), saya terus minta sekolah memandu tetapkan tarikh ujian sebenar oleh JPJ. Kalau boleh biarlah secepat mungkin. Jangan tunggu lama-lama, takut nanti ada peraturan baru yang akan menambah lagi syarat-syarat baharu yang perlu diikuti. 

BELAJAR ASAS

7. Selama 2 jam tempoh belajar digunakan untuk belajar Rutin Pemeriksaan Kenderaan (RPK) dan Rutin Sebelum Memandu (RSM), tatacara memandu yang selamat dan betul, naik bukit dan berhenti di garisan, melalui selekoh Z, selekoh S, parkir, dan memandu ke jalan raya yang ditetapkan sama ada jalan A, B atau C.

Nasib baik pada masa saya belajar, jalan B ditutup buat sementara waktu, hanya ada 2 pilihan sama ada jalan A atau C.

Dalam kesemua subjek, parkir adalah yang agak sukar sedikit kerana ia memerlukan teknik yang betul. Tapi jangan bimbang semua tips akan diajar oleh pengajar sekolah memandu. 

HARI UJIAN SEBENAR

8. Pada hari ujian JPJ, anda pergi ke sekolah memandu dan ambil nombor giliran. Kalau datang awal, giliran anda awal. Ujian akan dilakukan di premis sekolah memandu yang anda pilih. 

Hari ini, anda akan melihat ramai orang sedang menunggu giliran masing-masing. Ada juga yang mengambil ujian motorsikal, lori dan juga backhoe. Pegawai-pegawai JPJ akan berada di sekolah memandu untuk menguji kebolehan pelajar memandu kenderaan dan seterusnya melayakkan anda mendapat lesen jika segalanya berjalan dengan lancar. Keputusan akan diberitahu pada akhir ujian pada hari itu juga.

LESEN

9. Selepas segala urusan selesai dan anda lulus, sekolah memandu akan berikan anda salinan dokumen ujian dan bawa ia ke JPJ 3 hari kemudian untuk mendapatkan lesen penuh (hanya kepada mereka yang memohon lesen rayuan). Kepada pelajar baru, anda layak mendapat lesen percubaan (P) dan selama 2 tahun anda perlu melekat stiker P pada kenderaan sehingga melayakkan untuk mendapat lesen penuh selepas tempoh itu. 

Kegembiraan sebenar adalah semasa anda pergi ke JPJ membuat permohonan untuk mendapatkan lesen memandu yang telah lulus ujian JPJ.

LESEN MOTORSIKAL

10. Dalam kes saya, saya tangguhkan tempoh untuk mendapat lesen motorsikal kelas B2 kerana agak sibuk dengan urusan seharian sehingga tempoh 3 bulan telah tamat. Saya perbaharui lesen L kelas B2 di JPJ dengan membayar sebanyak RM20 sahaja.

Bawa sekeping salinan MyKad dan beritahu kepada pegawai yang memperbaharui lesen tersebut bahawa saya saya sudah lulus lesen kelas D, kali ini cuma perlu perbaharui kelas B2 sahaja. Jika tidak, pegawai akan mencetak lesen L anda dalam kelas B2 dan D. 

Pegawai JPJ akan mengeluarkan sekeping lesen L kelas B2 yang baru tanpa foto. Lesen L yang asal yang mengandungi foto jangan dibuang. Ia masih perlu disertakan bersama jika diminta oleh pihak berkuasa dalam sekatan jalan raya dan sebagainya. Kini bermakna, di dalam dompet saya mengandungi 3 keping lesen memandu seperti berikut:

1. lesen memandu kelas D yang mempunyai gambar

2. lesen belajar memandu (L) yang telah tamat tempoh yang mempunyai gambar

3. lesen belajar memandu (L) yang diperbaharui tempoh yang tiada gambar     

Dalam tempoh 3 bulan ini, saya perlu belajar praktikal di sekolah memandu dan seterusnya mengambil ujian JPJ untuk mendapatkan lesen penuh kelas B2. 

Setakat ini dahulu. Akan kemaskini jika ada perkembangan terbaru...