Monday, October 31, 2016

Buka Kotak: Amplifier Rockville RXM-F3 1600 Peak/800 RMS Watt x4 Channel

Post kali ni adalah review amplifier yang dah lama saya 'aim' akhirnya dapat juga ke dalam tangan. Saya order dari USA, dengan kos shipping agak mahal, tapi kerana berkenan sangat dengan jenama Rockville, saya beli juga. Tepat 2 minggu dah sampai. Tak ambil masa lama. Siap diberi tracking number lagi supaya boleh track dah sampai ke mana.

Sampai kat tangan diserahkan melalui kurier SkyNet. Cukai import dah dikira sekali. Saya tak perlu bayar apa-apa dah.

Rockville ni jenama baru dalam kelengkapan audio. Biasanya produk dia lebih kepada kelengkapan untuk DJ dan stage performance. Tapi dia juga ada produk untuk sistem audio kereta. Apa yang menarik minat saya, kuasa RMS semua amplifier Rockville diiktiraf oleh CEA2006.

Ia menunjukkan kuasa Watt RMS dia memang kuasa sebenar, tak bohong. Kalau dia claim 1600 Watt, memang benar 1600 Watt. Bukan macam amplifier Made in China. Kebanyakannya tipu. Tulis kat kotak 2000W, tapi bila diuji, cuma 30 Watt. Berapa banyak beza 30 dengan 2000? Tapi memang patut lah harga amplifier China ni murah. Kuasa Watt dia tak betul.

Rockville claim model RXM-F3 ni 800/1600 Watt. Sebenarnya angka itu ialah gabungan untuk 4 channel, bermakna 1 channel 200/400 Watt RMS jika penyambungan speaker menggunakan impedance 1 Ohm. Tak ramai yang guna speaker 1 Ohm. Biasanya 2 atau 4 Ohm.

Untuk pemasangan dalam kereta saya, saya guna amp ini untuk 3 speaker.
2 speaker belakang 4 Ohm (1 speaker setiap channel) dan 1 subwoofer menggunakan 2 channel guna sambungan bridge. Ini bermakna, 2 speaker belakang dibekalkan kuasa RMS sebanyak 125 Watt x 2, dan subwoofer dengan kuasa RMS 400 Watt pada impedance 2Ohm. Untuk speaker hadapan, saya guna amplifier lama yang sedia ada. Lihat rajah konfigurasi di bawah sekali.

Dari beberapa percubaan, amplifier ini memang berkuasa jika disambungkan dengan impedance 2 Ohm. Waktu menaip artikel ni, ia dah pun siap dipasang dan saya memang berpuas hati dengan amplifier ni. Sangat berbaloi dengan harga yang dibayar. Sound clarity memang jelas, clean. Bunyi cymbal, riff gitar muzik heavy metal, semuanya jelas. Bass cukup padu. Itu hanya Gain separuh. Belum laras ke 90% atau maksima.

Jenama Rockville ni memang tak ada dijual di Malaysia. Mungkin saya seorang saja yang guna atau mungkin juga ada peminat audio kereta lain yang beli secara online macam saya, siapa tau. Jika ia dijual di negara ni pun, harganya mungkin mencecah lebih RM2,000. Amp Rockville ni memang stabil. Hentam berjam-jam lama ia tak panas pun. Tak sama macam amp saya yang lagi satu. Cepat panas.











Amplifier model RXM dipasarkan sebagai amplifier marine, tapi ia boleh digunakan untuk kereta kerana spesifikasi adalah sama, ia disahkan sendiri oleh wakil Rockville. Uniknya, jenis marine disertakan dengan extra protection kepada air laut dan disertakan percuma dengan P.A. microphone.





Monday, August 1, 2016

Panduan Memilih Amplifier Kereta: Kuasa Sebenar Amplifier Dalam Watt RMS


Setelah membuat sedikit study dan melihat dyno test, berikut adalah senarai jenama power amp dengan jumlah kuasa WATT dalam RMS yang betul dan palsu.RMS bermaksud Root Mean Square dimana amplifier mampu menyalurkan kuasa secara konsisten tanpa menghadapi masalah. Ia berbeza dengan Peak Power atau PMPO. Peak Power hanya mengandaikan amplifier itu hanya mampu menjana kuasa dalam satu-satu masa yang pendek dan tidak mampu membekalkan kuasa sepanjang masa muzik dimainkan.

AMP DENGAN KUASA SEBENAR MELEBIHI DAKWAAN PENGELUAR
Contoh: Pengeluar mendakwa 400Watt RMS, kuasa sebenar ialah 420Watt hingga 550Watt RMS. Senarai ini dijamin boleh diyakini 100%.

- Kicker
- Rockford Fosgate
- JBL
- Hifonics
- MTX
- Kenwood
- JVC
- Orion
- Sony
- Soundstream
- MB Quart
- Audiopipe (2X LEBIH KUASA)
- Rockville (2X LEBIH KUASA)
- Autotek (model 90-an)
- NVX
- Car Audio Bargain (CAB)
- DC Audio (Soundlab)
- Alpine
- JL Audio
- Focal
- Hertz
- MTX


KUASA SEBENAR MENGHAMPIRI DAKWAAN.
Contoh: Kuasa sebenar 90 hingga 95% dari dakwaan:
- RE Audio

KUASA SEBENAR TERLALU KURANG BERBANDING DAKWAAN PENGELUAR (FAKE/CRAP) - KEBANYAKANNYA HANYA 10 HINGGA 30 PERATUS SAHAJA DARI DAKWAAN.
Contoh: Pengeluar mendakwa 1000 Watt, kuasa sebenar hanya 50 hingga 300 Watt RMS sahaja. Jenama seperti ini dipersoalkan dan lebih baik dijauhi

- Planet Audio
- Power Acoustic
- Soundstorm
- Lanzar
- Crunch
- Boss
- Autotek (model baru)
- Semua jenama China seperti Lepai, Lvpin, Kinter

JENAMA TEMPATAN
Jenama buatan Balakong atau Klang yang tiada sijil CEA2006 anda boleh lupakan. Ia suatu bentuk pembaziran wang yang tidak membawa apa-apa kelebihan:

- Mohawk
- NT Power
- Adam's Digital
- Brother's
- Roadstar
- Leon
- Listen
- SP Audio USA
- AV Quart
- Punch (bukan siri orginal Rockford Fosgate)
- ALS (ALS juga adalah singkatan untuk nama sejenis penyakit neurologi "amyotrophic lateral sclerosis")
- Transformer
- V12
- V22


Contoh iklan yang tidak bertanggungjawab cuba membohongi pembeli. Memang layak diketawakan.



Perlu dinyatakan bahawa semua ujian dilakukan sehingga 1 Ohm untuk mendapatkan kuasa maksima. Dalam dunia realiti, kebanyakan speaker yang digunakan untuk kereta ialah 4 Ohm. Ini bermakna kuasa sebenar adalah kurang jika diuji menggunakan resistance 4 Ohm.
.

Friday, July 29, 2016

Cara Pasang Kamera Reverse Kereta

Untuk menjimatkan masa, ikut saja diagram yang saya sediakan di bawah ini. 


Lampu reverse atau backup light ialah lampu putih di belakang kereta yang menyala semasa anda menukar kepada gear undur. Jika kamera anda mempunyai lampu LED, sambung wayar positif dari LED ke wayar positif lampu undur dan wayar hitam ke Ground.

Mudah. Tapi anda perlu jolok wayar di bawah karpet dari depan sampai belakang dan mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan kamera. Undur memudahkan kerja, anda harus keluarkan seat kereta dahulu.

Jenis kamera yang bagus adalah yang memepunyai sudut pandang 230 darjah.


Thursday, July 28, 2016

Projek DIY: Naiktaraf Head Unit Lama Kepada Android/Bluetooth/SD Card/GPS

Sejak Disember tahun lepas, saya belum kemaskini sebarang artikel dalam Blog ini. Projek DIY saya kali ni ialah menaiktaraf head unit jenis double din yang lama supaya ia dilengkapi dengan ciri-ciri terkini seperti bluetooth, Wifi, TV, dan menyokong SD Card. Projek ini sukses dengan semuanya berfungsi seperti yang dikehendaki.

Head unit lama ini adalah jenama Kenwood DDX6039. Selain DVD dan CD Audio, model ini memang siap dibekalkan dengan ciri-ciri menyokong TV Tuner, Bluetooth dan GPS tetapi ia hanya menyokong peranti external jenama Kenwood sahaja. Berbeza dengan head unit model terkini, semua fungsi itu telah termuat di dalamnya dan tak perlukan peranti external.

Saya membuat carian di laman online untuk mendapatkan peranti asal ini tapi ia sukar didapati. Kalau ada, harganya terlalu mahal. Satu peranti external hanya untuk menyambungkan bluetooth sahaja berharga sekitar RM500 hingga RM800. Saiznya sebesar tapak tangan. Ia memerlukan ruang yang lebih. Tak berbaloi kalau saya beli.

Begitu juga dengan TV tuner jenama Kenwood. Harganya mencecah seribu ringgit. Saiznya pula lebih besar dari peranti bluetooth dan perlukan banyak connector. Bayangkan berapa banyak ruang yang diperlukan untuk semua ini. Semua peranti external ini hanya boleh dipesan dari luar negara seperti UK dan Amerika. Ia tidak terdapat di pasaran negara kita.

Jadi saya lupakan saja hasrat untuk mendapatkan peranti external yang asli ini. Lebih baik saya buat sesuatu supaya ia boleh menerima isyarat bluetooth, GPS, TV dan sebagainya.

Sebelum bermula, yang pertama iaitu yang paling penting, head unit sedia ada mesti mempunyai terminal AV-In. Jika tiada, maka projek ini tidak dapat dilakukan. 

Berikut adalah device tambahan yang diperlukan dalam projek ini:
  • Android TV Box yang menyokong SD Card, Wifi dan USB. Boleh didapati dalam harga sekitar RM90 - RM160 mengikut jenama dan ciri-ciri extra. Pastikan ia menggunakan kuasa 5Volt. Saya gunakan model MXQ S805 Android Kit Kat. a datang dengan power adapter, remote controller dan cable HDMI. 
  • Adapter HDMI kepada AV. Adapter ini tidak semestinya diperlukan. Harganya agak murah. Saya beli melalui online dengan harga RM19. Di kedai elektronik di Ipoh, mereka jual RM100 seunit. Ia datang dengan power cable. 
  • Bluetooth Stereo Signal Receiver yang menggunakan USB (tidak cover dalam artikel kali ini. Saya akan tulis berkenaan Bluetooth Stereo Receiver ini dalam tulisan akan datang. Harap bersabar.) 
  • USB plug. USB plug ini anda boleh dapatkan dari wayar charger handphone lama yang dah tak digunakan. Potong saja dan ambil plug USB, tinggalkan sedikit lebihan wayar supaya mudah untuk disambung kemudian. 
  • wayar RCA dan cable secukupnya

Untuk projek ini, anda perlu sekurang-kurangnya 3 terminal USB. Jika malas nak buat wiring, boleh saja guna USB yang dicucuk ke palam lighter. Kalau anda rajin, buat macam apa yang saya buat. Saya tarik wayar ACC 12 volt dari kotak fuse, sambungkan kepada USB charger dan sembunyikan charger tersebut di dalam dashboard. Tapi ia memerlukan masa. Kalau mahu, seribu daya.

USB charger yang dijual di pasar malam dengan harga antara RM5 ke 15 ringgit itu berfungsi sebagai regulator. Ia mengubah kuasa 12Volt dari kotak fuse kepada 5Volt.

Jenis USB charger yang digunakan.

Anda perlu buka dan kenalpasti litar pada board di dalamnya. Wire merah terus solder ke tempat di mana spring dihubungkan. Kemudian buang spring di dalamnya dan juga plat besi di kedua-dua belah kaki charger ini. Plat ini adalah terminal ground untuk charger. Wire hitam solder kepada terminal ground di dalam mini circuit di dalam USB charger ini. Kemudian wire merah itu disambung terus kepada kuasa bateri / ACC 12 Volt. Wire hitam di hujung satu lagi disambung ke body kereta.




Secara automatik, USB charger ini membekalkan kuasa 5 Volt untuk 2 device Android Box anda.  

Untuk mudah memahami, sila lihat terus diagram yang saya sediakan di bawah. Terdapat 2 Kaedah yang anda boleh gunakan. Satu dengan melalui HDMI converter. Satu lagi tanpa converter (Kaedah A). Dengan menggunakan converter (Kaedah B), imej lebih detail dan sharp berbanding tanpa converter.
Kaedah A


Kaedah B

Adapter yang datang sekali dengan unit Android tersebut perlu dipotong. Jika anda bercadang untuk gunakan semula untuk TV di rumah, saya cadangkan anda cari plug lain yang sama saiz dengannya. Charger Nokia jenis lama mempunyai saiz plug 3mm seperti yang saya gunakan. Simpan plug yang asal, dan potong plug dari Nokia, sambung ke USB. Wire USB yang diperlukan ialah yang berwarna merah (power) dan hitam (ground). Plug Nokia itu biasanya yang positif ialah yang plug sebelah dalam dan di luarnya adalah negatif. Anda tahu wire yang mana satu nak disambungkan.
Plug yang memberi kuasa kepada Android TV Box
Android box ini mengandungi modem internal, oleh itu ia berfungsi seperti smartphone Android. Anda boleh install Apps, berWhatsapp, bersosial, gunakan Waze seperti anda menggunakan aplikasi GPS, tonton KODI dan beribu-ribu movie secara online.

Dengan cara ini, anda dapat menjimatkan wang, tidak perlu beli head unit yang baru. Anda boleh tonton video, dengar mp3, lihat gambar, mendengar radio. Cuma resolusi skrin head unit lama agak kurang berbanding head unit terkini. Tetapi ia tidak kurang hebatnya jika head unit lama anda jenama Kenwood, JVC, Alpine, Pioneer atau Sony.

Perlu dinyatakan bahawa fungsi touchscreen tidak terpakai untuk GUI sistem Android ini. Anda masih boleh guna fungsi touchscreen untuk GUI head unit yang asal. Lebih mudah gunakan remote controller yang dibekalkan dan anda masih boleh fokus kepada pemanduan sambil menekan butang remote yang telah dihafal.

Selamat mencuba.