Tuesday, December 15, 2015

Mengapa LED Nozzle Tidak Tahan Lama? DRL Mengganggu Pemanduan Pengguna Lain

LED Nozzle



Dulu saya pernah pasang nozzle untuk windshield yang mempunyai LED di dalamnya. Saya pernah pasang pada kereta lama dan kereta yang saya guna sekarang ini. Tapi masa tu, saya hanya beli dan pasang di kedai aksesori. Waktu itu, saya belum mengerti selok-belok tentang wiring elektrikal kereta, semua kerja diserahkan kepada kedai aksesori sebab pada pandangan saya mereka lebih tahu dan lebih banyak pengalaman.

Rupa-rupanya sangkaan saya ersilap. Seperti mana saya menyangka mereka hebat memasang sistem audio kereta dahulu, padahal nak memasangnya bukan susah sebenarnya.

Cerita pasal nozzle yang ada LED ni, pengalaman saya, ia tak pernah bertahan lama. Paling cepat, 3 bulan. Paling lama bertahan, setahun. Itupun dah tinggal sebelah. Nozzle sebelah lagi sudah tidak mengeluarkan lampu. Mungkin LED sudah terbakar kerana short dengan air - pada sangkaan saya.

Sebenarnya tidak. Setiap LED yang dipasang pada sistem elektrikal kereta memerlukan resistor. Jika anda melihat pekerja kedai aksesori memasang LED tanpa menggunakan resistor, cuba halang mereka. Itu cara yang salah. Tujuan resistor adalah untuk memastikan voltan yang disalurkan kepada LED itu adalah terkawal dan tidak melebihi beban maksima yang boleh ditanggung oleh LED tersebut. Mereka biasanya tidak mahu membuat kerja "extra" untuk anda. Apa yang mereka mau, barangan dapat dijual dan dipasang ala-kadar. Sebiji resistor bukannya mahal. anda boleh beli dengan harga tak sampai 50sen sebiji di kedai elektronik. Tapi oleh kerana kerja memasang resistor memerlukan solder, mereka skip langkah ini dan pasang terus LED itu kepada sistem wiring kereta anda. Ini menyebabkan LED tidak tahan lama.

DRL

DRL atau Daytime Running Light di Eropah memerlukan pemasangan relay. Relay ini akan merendahkan kuasa kecerahan lampu LED apabila memandu di waktu malam supaya tidak mengganggu pemanduan pengguna jalanraya yang lain. Relay ini berkomunikasi dengan lampu headlight kereta, apabila headlight dipasang, relay akan melaras kuasa pada lampu DRL supaya lebih rendah. Jika memandu di siang hari, DRL akan menyala pada kuasa penuh kerana cahaya matahari lebih cerah dari lampu DRL dan ia tidak beri kesan kepada pengguna lain. Tapi apa yang kita lihat di Malaysia hari ini, ramai yang memasang DRL tanpa relay. Ini menyebabkan pengguna lain marah dan menimbulkan rasa tidak senang ketika memandu kerana terganggu oleh cahaya DRL pada kuasa penuh di waktu malam lebih-lebih lagi ia dipasang pada sudut yang tinggi menyuluh terus ke mata pemandu lain. Ini juga adalah kerana penjual aksesori tidak bertanggungjawab kerana menjual DRL tanpa relay. Mereka cuma pasang terus kepada bahagian depan kereta. Saya pernah bertanya tentang DRL di sebuah kedai aksesori, saya tanya di mana relay, kata penjual, tak perlu pasang relay.