Monday, September 14, 2015

D.I.Y. Cara Pasang Sistem Audio Video Kamera Kereta - Perkara Yang Kedai Aksesori Kereta Tidak Mahu Anda Tahu

Baru-baru ni saya ada lebih masa yang terluang dan saya gunakan sebaik-baiknya untuk memulihkan sistem audio kereta saya. Kereta dah lama sunyi sepi tanpa muzik sebab semua wayarnya saya dah tarik keluar. Puncanya, nampak semak. Pekerja kedai aksesori yang pasang dulu buat kerja cincai. Semua wayar disumbat ke dalam dashboard dalam keadaan berselerak, tak terurus dan akhirnya menyebabkan ada bunyi bising macam naik pesawat. So, nak puas hati, saya humban semua wayar tu keluar, biar takde radio daripada bunyi bising menyakitkan telinga. Dah bertahun kereta saya tak ada bunyi radio. Bila nak dengar lagu, pasang dari handphone atau tablet je. Sedihnyeee....

Sekarang saya dah pulihkan semula sistem audio tu, D.I.Y. Buat sendiri tanpa bantuan sesiapa dan tak perlu kedai aksesori untuk buat wiring dari head unit ke crossover ke amplifier sampai ke speaker.

Saya tak buat bisnes pasang sistem A/V kereta jadi tak salah saya kongsi info ini dengan mereka yang lebih suka D.I.Y. dan hasilnya akan lebih memuaskan hati berbanding dipasang oleh orang lain. Saya belajar dari forum Honda-tech.com. Kat sana, banyak ilmu boleh ditimba. Saya pun ada share gambar-gambar kereta di sana. Mat Saleh ni tak kedekut ilmu. Selamba je dia share tutorial. Dia tak ada rasa hasad dengki. Ada juga soalan yang saya tanya mereka tak boleh nak jawab. Sebab, aksesori tak sama. Contohnya, saya tanya pasal crusie controller, model cruise controller untuk pasaran negara mereka tak sama dengan negara kita walaupun kereta jenis yang sama.

Sebenarnya nak pasang sistem audio kereta sendiri tak susah - jika anda tahu kegunaan dan fungsi setiap jenis wayar yang ada. Kalau ajar anak yang berumur 12 tahun, mereka pun tau pasang. Kali ini saya akan jelaskan satu persatu jenis-jenis wayar standard yang ada pada sistem stereo kereta.

Kedai aksesori mungkin tak suka dengan tulisan saya ini sebab pada hakikatnya, kita sebenarnya boleh pasang sendiri alat entertainment kereta tanpa memerlukan pengetahuan tahap tinggi. Di sini, saya nak kongsi panduan atau tutorial dengan pengunjung blog ini bagaimana nak buat wiring sendiri tanpa perlu mengharapkan orang lain dan anda boleh jimat wang yang banyak.

Sebelum mula, biar saya senaraikan perlalatan yang perlu atau wajib ada di tangan terlebih dahulu: Senarai peralatan adalah seperti berikut:

Alat yang MESTI ada:
  1. Insulation Tape 
  2. wayar 2 core - panjang secukupnya. biasanya wayar 2 core datang dengan dua warna  - merah dan hitam atau satu warna ditanda dengan jalur pada salah satu supaya kita dapat membezakan antara wayar positif dan negatif. Nanti saya akan jelaskan berkenaan wayar positif dan negatif ini
  3. Soldering Iron dan Solder Lead 
  4. Cutting Plier   
  5. Multimeter  
  6. Screwdriver (Philip atau flat ikut jenis skru yang digunakan)
  7. Spanar soket pelbagai saiz untuk membuka dan bawa keluar kerusi kereta (jika anda perlu mengeluarkan kerusi kereta, jangan khuatir - ia tak sukar sebenarnya jika anda diberitau caranya)
  8. Alat bantuan untuk membuka cover interior jika ada yang tak boleh dibuka dengan tangan. Jika anda tiada peralatan ini, anda boleh cuba gunakan peralatan lain yang sesuai dan pastikan alat anda tidak mencalar atau merosakkan dashboard.  
  9. Head Unit Removal Key (biasanya datang sepasang bersama head unit baru anda, diguna untuk mengeluarkan head unit dari panel dashboard) 
    Head Unit Removal Key
  10. Cable Ties  
  11. Masa - of cos. ini yang paling penting. Jika anda tiada masa, jangan lakukan  
Jika anda memiliki alat berikut merupakan kelebihan:
  1. mesin gerudi tangan (hand drill)
  2. kit wire crimper dengan terminal wayar
  3. wire connector secukupnya
  4. solder flux
  5. wire sleeve atau sleeving tube
Jika anda membeli head unit CD/DVD yang baru, biasanya ia datang dengan satu plug wire harness dan di belakang head unit itu terdapat soket untuk wire harness dan sekurang-kurangnya 2 terminal RCA iaitu Left & Right. Hanya head unit jenis lama saja (mungkin 30 atau 40 tahun dulu)  tiada connector RCA.

Wire harness ini berbeza-beza jumlah pin mengikut jenis kereta tapi fungsi setiap wayar lebih kurang sama dan warna juga tak banyak berbeza. Untuk CD head unit, biasanya 16 pin. Kalau ada DVD atau sistem android, 18 pin atau lebih. saya tak pasti. tapi jangan bimbang, semua kegunaannya ada dinyatakan dalam manual.

Wire Harness Buatan Aftermarket - Pengenalan
Setiap wayar berwarna yang datang bersama head unit jenama aftermarket (bukan aksesori standard kereta anda) mengandungi sekumpulan wayar berbagai warna digabungkan ke dalam satu plug dipanggil wire harness. Berikut fungsi setiap wayar mengikut warna:

1. Kuning - wayar untuk disambungkan ke bateri kereta
2. Merah - wayar untuk disambung kepada ACC switch atau kunci ON sistem elektrikal kereta
3. Hitam - ground
4. putih - speaker depan kiri +ve
5. putih jalur hitam - speaker depan kiri -ve
6. kelabu - speaker depan kanan +ve
7. kelabu jalur hitam - speaker depan kanan -ve
8. purple - speaker belakang kanan +ve
9. purple jalur hitam - speaker belakang kanan -ve
10. hijau - speaker belakang kiri +ve
11. hijau jalur hitam - speaker belakang kiri -ve
12. biru jalur putih - disambung ke motor kuasa antena radio kereta. jika antena radio kereta tk menggunakan motor, abaikan wayar ini. balut hujungnya yang terdedah dengan insulation untuk elak dari litar pintas
13. biru - sambung ke terminal remote amplifier jika anda guna amplifier. Jika tiada amplifier, balut dengan insulation tape

Setengah wire harness mengandungi wayar berwarna oren. Wayar ini untuk illumination disebut dimmer, iaitu kecerahan skrin akan dikurangkan jika anda memasang lampu kereta ketika memandu di waktu malam. Ini untuk mengelakkan distraction dan tidak mengganggu pemanduan anda. Jika anda tidak mahu gunakan, kerana anda memang pemandu yang baik dan sentiasa fokus, balut dengan insulation tape.

Jika anda bilang, semuanya ada 13 sahaja. sebenarnya walaupun ada 16 pin, bukan semua terminal mempunyai wayar. Ada yang dibiarkan kosong kerana fungsi untuknya diabaikan. dan ada setengah head unit mempunyai 18 pin. Jangan bimbang, semua maklumat ini ada diberitahu dalam manual pemasangan yang datang bersama head unit yang anda beli.

Wire Harness Standard Dari Dasboard
Kini masa untuk pelajari wire harness dari dashboard kereta anda pula. Bahagian ini agak mengelirukan tapi ia tak susah. Yang ini penting. Perlu diketahui bahawa ada kereta menggunakan color code yang berbeza dengan head unit aftermarket. Anda perlu semak diagram elektrkal kereta anda, buat carian di internet mengikut jenis kereta dan tahun, atau gunakan multimeter untuk pastikan fungsi setiap wayar yang keluar dari dashboard.

Untuk kereta Proton Satria lama, wayar untuk bateri ialah putih berjalur hitam. Untuk kereta Malaysia yang baru, saya tak pasti. Anda boleh rujuk kepada pengeluar atau lihat sambungan sedia ada. Biasanya pada head unit ada ditunjukkan. Untuk Honda, wayar bateri ialah biru berjalur putih.

Jika kereta anda masih mempunyai head unit standard di dalamnya, maka ia lebih mudah kerana sebelum anda keluarkan head unit itu dari kereta, anda perlu lihat dulu sambungan wayar sedia ada Dengan itu anda dapat kenalpasti setiap wayar mengikut warna. Lebih baik catit atau tandakan/tag wayar itu sebelum memotongnya. Wayar yang keluar dari dashboard juga biasanya mempunyai wayar bateri, ACC, antena, speaker depan belakang kiri dan kanan. Cuma warnanya mungkin berbeza dengan head unit baru anda.

Antena Radio
Kepala antena radio dari dshboard standard

Cable untuk antena radio biasanya diasingkan dari wire harness. Ia mudah dikenali kerana diameter lebih besar dan plug berbeza dari semua wayar yang ada.











Video Out Connector / Reverse Camera
Jika head unit anda jenis DVD player yang boleh memainkan video, pasti terdapat satu connector untuk Video Out di belakang head unit. Sambungkan Video Out dengan RCA cable ke monitor anda. Jika anda menggunakan head unit jenis double din yang mempunyai touch screen, dan anda memasang kamera pada body kereta anda, tak kira kamera untuk reverse atau kamera tersembunyi, sambungkan wayar dari kamera kepada connector Video In pada head unit. Wayar yang keluar dari kamera juga biasanya mempunyai 3 iaitu positif, remote untuk kuasa dan ground. Untuk mengaktifkan kamera hanya semasa anda reverse kereta, buat sambungan T (T-joint) wayar positif dari kamera ke wayar positif untuk lampu reverse. Lampu reverse ialah lampu putih di belakang kereta anda. Apabaila anda masuk ke gear reverse, kamera akan diaktifkan secara autmatik bersama lampu reverse anda dan ia keluar di skrin head unit anda. Ia akan kembali ke skrin asal apabila gear reverse dibatalkan.

Untuk kamera yang anda gunakan sebagai CCTV, seperti rakaman pemanduan, biasanya terminal output dari kamera menggunakan cable RCA berwarna kuning. Cuma cucukkan cable output ini kepada terminal input video pada head unit anda.

Mudah bukan?
Update: Untuk info lebih lengkap berkenaan pemasangan kamera reverse, sila lihat artikel klik di SINI

Cara-Cara Memasang Head Unit Baru
Langkah 1 
Tanggalkan wayar dari terminal negatif bateri kereta.
Sebelum anda keluarkan head unit yang lama, pastikan anda cabut wayar negatif bateri kereta anda sebagai langkah keselamatan. Anda tak perlu keluarkan bateri. Memadai dengan menanggalkan terminal negatif dan jauhkan dari bateri atau cover dengan plastik, fabrik atau bahan yang tidak mengalirkan arus elektrik. 
Langkah 2 
Ini langkah penting. Baca langkah berikut dengan teliti. 
Keluarkan head unit yang lama. Gunakan removal pin dan tarik keluar kira-kira 6 - 8 inci ke arah anda dan pastikan sambungan wayar sedia ada tidak terputus atau tercabut. Jika head unit kereta anda berada di belakang panel dashboard seperti kebanyakan kereta baru, anda perlu membuka panel dashboard terlebih dahulu. Maka anda ada langkah tambahan yang perlu dilakukan. Setengah kereta lebih straightforward. Tidak perlu buka panel. 
Langkah 3 
Setelah menarik keluar head unit, perhatikan sambungan wayar sedia ada dan buat catitan. Jika head unit lama anda menggunakan wire harness yang sama dengan head unit baru, kerja anda lebih mudah. Tak perlu potong wayar, cuma cabut wire harness dari head unit lama dan plug-in saja ke head unit baru anda. Anda boleh terus lompat ke "Langkah 6" di bawah.
Jika tiada wire harness atau jumlah pin wire harness sedia ada berbeza, anda perlu ikuti langkah-langkah bermula dari sini.   
Perlu diingat, jangan potong wayar antena radio dari dashboard. Wayar antena radio adalah sama dan anda cuma perlu plug-in saja ke head unit yang baru. 
Hati-hati jangan tarik head unit lama terlalu jauh keluar, ia akan memutuskan sambungan wayar itu dan anda perlu lebih masa untuk kenalpasti satu persatu. Perlu diketahui wayar speaker biasanya berkembar mempunyai warna yang sama kecuali salah satu ditanda dengan jalur hitam atau putih, merrah atau kadangkala jalur biru untuk membezakan antara terminal positif dan negatif. Anda juga perlu ketahui yang mana satu wayar bateri, wayar aksesori dan wayar ground. 
(Kemaskini 23 Ogos 2016) Bagi kereta jenis baru dengan head unit OEM, kebanyakan menggunakan wayar yang sama warna iaitu putih. Jika anda dapati keadaan demikian, maka cara yang lebih cepat ialah, pergi saja ke kedai aksesori dan dapatkan adapter untuk head unit OEM tersebut mengikut jenis kereta. Adapter tersebut sudah disesuaikan dengan head unit OEM anda, cuma anda perlu buat sambungan wayar dari adapter tersebut ke head unit baru anda mengikut warna. Gambar ialah adapter untuk Nissan Navara. Ia termasuk adapter untuk antena radio. 
Langkah 4 
Potong Wayar.
Setelah merekod sambungan mengikut warna wayar, kini anda boleh memotong sambungan wayar antara dashboard ke head unit yang lama. Biarkan wayar dari dashboard mempunyai lebihan panjang untuk memudahkan anda menyambung wayar itu ke head unit yang baru. Jika tidak cukup panjang, anda perlu buat sambungan wayar supaya ia lebih panjang dan memberi sedikit kelegaan terhadap tindakan menarik dan meletakkan head unit baru ke dalam dashboard. Apabila menyambung wayar ini, lebih baik gunakan solder dan jadikan ia sambungan kekal. 
Langkah 5 
Buat sambungan wayar ke head unit yang baru anda mengikut fungsi wayar masing-masing. Wayar bateri ke bateri. Wayar speaker ke speaker. Wayar aksesori ke aksesori. Biasanya head unit baru mempunyai built-in amplifier dan anda boleh terus sambung ke speaker. Jika anda mempunyai amplifier yang lebih berkuasa dari kuasa built-in, anda boleh gunakan sambungan RCA dari belakang head unit terus ke amplifier. Sambungan RCA biasanya ada 2 iaitu kiri dan kanan.   
Untuk kereta jenis lama yang tiada wayar aksesori, anda boleh hubung wayar bateri (biasanya warna kuning) dan wayar aksesori (merah) bersama dan sambungkan terus kepada bateri kereta. Wayar kuning adalah wayar constant power dimana head unit anda perlukan sedikit kuasa dari bateri setiap masa walaupun enjin kereta dimatikan. Ini bertujuan untuk kesinambungan jam dan memori jika anda menyimpan memori stesen radio dan setting lain pada head unit. Jangan bimbang bateri kereta anda tak habis cepat kerana yang diperlukan sangat sedikit. Ia hanya perlukan kuasa ibarat bateri jam tangan yang tahan bertahun-tahun lamanya. 
Pastikan anda lakukan langkah ini dengan betul. Pastikan juga wayar hitam (ground) disambung ke body kereta di permukaan logam yang tidak dilapisi cat untuk membenarkan arus mengalir. Wayar ground bertindak sebagai terminal negatif untuk litar sistem audio anda. Jika tidak, head unit anda tidak akan berfungsi. Cari tempat yang kukuh dan stabil untuk sambungan ground. 
Untuk sambungan wayar ke setiap speaker, saya sarankan anda solder setiap sambungan dan saluti dengan sleeving tube. Untuk sambungan ke bateri dan ACC, gunakan plug connector. Kini terdapat jenis penyambung wayar di pasaran yang tidak memerlukan solder atau skru dan mudah dibuka dan boleh diguna berulang kali seperti dalam gambar di bawah. Ia dipanggil spring connector. 


Langkah 6 
Kemaskan semua sambungan wayar. Balut semua sambungan solder dengan insulation tape. Jangan sambung wayar dengan memintal dengan tangan seperti yang biasa dilakukan oleh kedai aksesori. Sambungan pintal tidak stabil, boleh menjejas kualiti bunyi apabila kereta berada di jalan yang tidak rata. INGAT! Semua sambungan wayar speaker perlu solder atau gunakan connector yang kukuh. 
Ikat wayar dengan cable tie dan susun mengikut kategori supaya ia mudah dikenalpasti. Pastikan amplifier dipasang pada tempat yang stabil, seeloknya di atas sekeping board papan plywood. Gunakan gerudi untuk menebuk lubang pada papan untuk membenarkan wayar menembusinya dan wayar yang berlebihan terlindung dari pandangan. Elakkan menebuk lubang pada mana-mana bahagian kereta anda seperti yang biasa dilakukan oleh kedai aksesori. Mereka tak peduli kerana itu bukan kereta mereka. Lubang yang ditebuk lama-kelamaan akan mendedahkan kereta kepada karat. 
Dahulu, saya pernah pasang bumper depan kereta Honda Civic dan CD changer di dalam bonet belakang di kedai aksesori, mereka gerudi body kereta dan akhirnya tempat gerudi itu sudahpun berkarat. Bumper hanya disambung denga rivet aluminum, iaitu jenis sambungan yang lemah. Ini kerja yang tidak berkualiti. Saya sudah lapisi lubang itu dengan minyak gris harap ia dapat bertahan dari berkarat lebih teruk.. 
Langkah 7 
Gunakan satu fuse jenis AGU dengan holder sebagai protection di antara bateri ke seluruh sistem audio anda termasuk head unit dan amplifier anda. Fuse jenis gold-plated adalah terbaik. Sambung semula terminal negatif bateri. Masukkan kunci kereta dan pusing ke ON. Lihat sama ada head unit baru anda berfungsi. Uji semua speaker supaya semua berfungsi. Jika tidak, anda perlu periksa semula sambungan wayar yang anda lakukan. Cabut terminal negatif bateri terlebih dahulu sebelum periksa. Jika anda sudah pastikan semua sambungan dibuat dengan betul tapi masih tidak berfungsi, cuba sambung dua wayar bateri (merah) dan kuning +12V selari dan hubungkan kepada wayar aksesori..  
Fuse AGU (dalam bulatan) dari bateri disambung kepada distribution block

Selepas semuanya berfungsi, pasang semula semua cover bahagian yang berkenaan. Tahniah kerana anda telah berjaya memasang sistem A/V kereta anda sendiri.    

Wayar Positif & Negatif
Biasanya, wayar positif untuk speaker mempunyai satu warna solid manakala wayar negatif ditandakan dengan jalur. Kebiasaan amalan kedai aksesori di Malaysia, mereka jadikan wayar berjalur sebagai positif manakala wayar berwarna solid sebagai negatif. Ia tidak mengikut standard pengeluar. Biasanya jika diperhatikan manual pengguna yang datang bersama set head unit baru anda, wayar negatif ditandakan dengan jalur atau garisan putus-putus. Jadi lebih baik ikut standard pengeluar.

Sambung wayar berjalur ke termnal negatif pada speaker dan wayar warna penuh kepada terminal positif pada speaker. Jika anda lakukan sebaliknya, ia tidaklah merosakkan speaker tapi speaker anda akan menghalakan gelombang bunyi ke belakang. Jangan sambung wayar positif dengan negatif bersama tanpa speaker.

Pastikan semua sambungan telah dibuat sebelum anda menyambungkan terminal bateri.

Perbezaan Wire Harness Dengan RCA Connector
Setengah head unit mempunyai kedua-duanya. Anda boleh gunakan keduanya atau salah satu. Jika anda mempunyai amplifier, gunakan RCA cable untuk menyambung dari head unit ke amplifier. Connector RCA membawa isyarat low level atau mono manakala wayar speaker dari wire harness head unit anda membawa isyarat high level atau stereo dan anda boleh sambungkan terus ke speaker tanpa perlukan amplifier. Tapi kelemahannya dari segi kuasa yang dikeluarkan biasanya tidak sampai 100Watt manakala kuasa yang keluar dari amplifier boleh melebihi 1000Watt bergantung kepada amplifier anda gunakan. Itulah tujuan amplifier digunakan, untuk meningkatkan kuasa atau menguatkan bunyi speaker anda.

Wire Harness Kenwood


RCA Input di belakang head unit
Jika anda hanya gunakan RCA jack untuk speaker, pastikan anda seal setiap hujung wayar harness untuk speaker dari head unit agar tidak berlaku litar pintas. Jika berlaku, ia boleh merosakkan head unit baru anda.

Saya menggunakan wire speaker dari head unit untuk speaker depan kiri dan kanan manakala untuk subwoofer saya sambungkan ke amplifier menggunakan cable RCA. Head unit saya jenis Sony, memiliki built-in amplifier dan pre-amp, menghasilkan kuasa output 52Watt x 4 channel. Kerana saya gunakan untuk speaker depan kiri dan kanan, saya hanya gunakan 2 channel sahaja iaitu 104Watt dan ia sudah cukup kuat untuk pemandu dan penumpang di dalam kereta. Kecuali jika anda mahu bunyi speaker anda boleh didengar dari luar kereta, anda perlukan kuasa Watt yang lebih tinggi - mungkin 300 ke atas.   

Sambungan Ke Amplifier
Jika anda ada amplifier, sambungan lebih kompleks tapi ia tak sesukar yang anda sangka. Semuanya ada dinyatakan pada manual dan juga pada terminal amplifier tersebut. Anda cuma perlu tahu dimana kedudukannya. cable RCA L & R yang keluar dari head unit dihubungkan ke terminal input L & R pada amplifier anda. Dari amplifier, ada terminal positif dan negatif untuk disambungkan terus ke speaker anda.

Sambungan yang bertanda REM pada amplifier bermaksud Remote dihubungkan ke wayar Remote pada head unit manakala GND atau Ground pada amplifier dihubungkan ke body kereta. Terminal BATT adalah untuk disambung ke bateri atau distribution block.

Distribution Block

Jika anda mempunyai berbilang amplifier dan menggunakan active crossover, anda tak seharusnya membuat banyak sambungan wayar kepada terminal positif bateri anda. Anda boleh gunakan distribution block di mana hanya satu wayar diperlukan menghubungkan bateri ke block ini, Kemudian distribution block ini akan mengagihkan kuasa yang datang dari bateri kepada berbilang amplifier termasuk crossover anda. Seeloknya dapatkan block yang mengandungi fuse. Jika anda membuat sambungan sebegini, pastikan anda gunakan wayar yang lebih tebal agar ia dapat menampung keperluan berbilang perlatan yang anda gunakan.

Amplifier vs Speaker
Jika anda berangan-angan untuk mendapatkan kuasa amplifier yang besar seperti 800Watt atau 1000W ke atas, anda perlu padankan dengan kemampuan speaker anda. Jika spekaer hanya mampu menampung beban 500Watt, lupakan saja hasrat itu kecuali anda tukar kepada speaker yang mampu dan sepadan dengan kuasa yang dibekalkan. Bagaimanapun, label Watt yang ditunjukkan hanya kuasa maksimum yang boleh dihasilkan oleh amplifier tersebut. Untuk kenal pasti kuasa Watt yang sebenar, biasanya pengeluar menyatakan jumlah RMS atau MOSFET.

Audio Crossover

Jika anda menggunakan crossover, sistem audio akan lebih baik dan sedikit dapat membantu memelihara speaker anda dari blown-out. Fungsi crossover adalah menapis dan membahagikan frekuensi audio untuk jenis speaker yang sesuai. 3-way crossover contohnya memisahkan 3 jenis isyarat audio iaitu untuk tweeter, woofer dan subwoofer. Ini bermakna crossover hanya menghantar isyarat frequensi tinggi kepada tweeter, frekuensi sederhana kepada woofer dan frekuensi rendah (bass) kepada subwoofer.

Passive crossover

Active crossover
Crossover ada 2 jenis. Satu dipanggil passive dan satu lagi active. Passive crossvoer disambungkan terus kepada terminal positif dan negatif speaker tanpa amplifier. Active crossover dihubungkan di antara head unit dan amplifier. Active crossover memberi anda lebih kawalan kepada sistem audio anda.

Cara Memasang Active Crossover
Seperti head unit dan amplifier, crossover juga mempunyai terminal BATT/REM/GND. Sambungkan terminal BATT ke distribution block yang mendapat bekalan kuasa dari bateri, terminal REM ke wayar remote di head unit, dan Ground ke permukaan logam tanpa cat di chasis/body kereta anda. Anda boleh juga gunakan distribution block yang lain khas untuk GROUND sahaja. Untuk block Ground, anda tidak perlukan fuse.

Wayar RCA left & right yang keluar dari head unit dihubungkan kepada terminal input left & right pada crossover. Kemudian sambungkan dengan wayar RCA yang lain isyarat frekuensi rendah dari crossover kepada amplifier di mana anda mahu gunakan untuk subwoofer anda. Kemudian isyarat audio yang keluar dari amplifier itu hanya menghantar frekuensi rendah kepada subwoofer. Begitu juga untuk isyarat frekuensi lain, sederhana kepada amplifier yang anda khaskan untuk woofer/mid dan frequency tinggi untuk tweeter.

Memasang Cable Bawah Karpet
Jika anda rasakan perlu membuat pewayaran yang baru, mengantikan wayar sedia ada dengan wayar yang lebih baik, anda perlu tanggalkan kerusi kereta dan bawa ia keluar. Ini memudahkan kerja anda. Kerusi depan pemandu dan penumpang biasanya mempunyai 4 skru, satu di setiap sudut kerusi. Biasa menggunakan skru bersaiz 14mm. Gunakan spanar soket untuk membuka skru ini. Hati-hati semasa mengeluarkan kerusi dari kereta. Di bawah kerusi terdapat braket besi yang boleh mencalarkan panel interior kereta anda jika tidak cermat.

Setelah keluarkan, jolokkan wayar di bawah karpet hingga sampai ke lokasi terminal tanpa perlu keluarkan karpet. Jika jarak dari satu hujung ke lokasi terminal agak jauh, anda boleh gunakan alat seperti dawai untuk membawa wayar keluar ke terminal.

Pasang semula kerusi setelah selesai. Langkah yang sebaiknya ialah anda test dulu sebelum memasang semua peralatan asal supaya anda tak perlu buat 2 kali kerja.

Pemalsuan Label Kuasa Watt Amplifier
Jangan mudah terpedaya dengan berbagai kaedah penipuan jumlah Watt yang dipasarkan. Kebanyakan amplifier buatan China mereka tidak malu untuk meletakkan kemampuan kuasa sehingga 1200W padahal kuasa maksimum sebenar hanyalah antara 150W hingga 300 Watt sahaja. Ini boleh disaksikan dalam banyak review yang ditunjukkan di Youtube. Untuk mendapatkan amplifier dengan kuasa 1000 Watt yang sebenar, harganya mencecah ribuan ringgit, bukannya RM150 seunit.

Strategi Pemasaran
Ada amplifier yang mempunyai berbilang channel, contohnya kuasa untuk 1 channel ialah 250Watt dan amplifier itu mempunyai 4 channel, maka ia dilabel sebagai 1000Watt, iaitu jumlah watt untuk semua channel digabungkan.

Jika anda hanya guna 2 channel sahaja, anda hanya ada 500Watt sahaja -  bererti anda membelanjakan wang yang lebih untuk kelebihan yang anda tak gunakan, kecuali anda berniat untuk menaik taraf di masa hadapan. .

1 channel mempunyai 2 terminal iaitu positif dan negatif. Jika amplifier anda mempunyai 2 channel, ia mesti mempunyai 4 terminal dan 4 channel mempunyai 8 terminal.

Amplifier 4 Channel


Kelebihan membuat wiring sendiri, anda dapat pastikan sambungan wayar dibuat dengan kemas, tak selerak dan mudah dikenalpasti untuk kegunaan di masa akan datang.  

Jika anda ada sebarang pertanyaan berkenaan wiring A/V kereta, sila komen di bawah. Insyaallah saya akan membantu sekadar termampu.  


Tips: Untuk mengelak bunyi bising, kedudukan dan jenis sambungan wayar grounding adalah penting. Pastikan ia kukuh dan kedudukan jauh dari enjin. Jika anda gunakan RCA jack menghubngkan kepada amplifier, pastikan jarak wayar RCA dengan wayar lain dalam sistem kereta berada tidak kurang dari 5 atau 6 inci. 

Jika anda mahu menguji dengan multimeter sama ada terdapat arus atau tidak, halakan kepada DC 50V, pusing kunci kereta ke posisi "ON" dan ON suis untuk peralatan yang ingin diuji, gunakan terminal positif pada multimeter (warna merah) untuk terminal positif pada peralatan dan terminal negatif pada multimeter (hitam) untuk mana-mana bahagian logam body kereta (chasis).